Monday, July 14, 2008

Sepi: Lain dari yang lain

Sepi, satu lagi buah tangan Kabir Bhatia kepada peminat-peminat filem melayu di Malaysia telah mula ditayangkan pada 26 Jun yang lalu. Yang menariknya, orang yang tidak gemar menonton filem melayu seperti penulis turut tertarik untuk ke panggung menyaksikan sendiri kehebatan pengarah filem berbakat ini. Sebelum ini, penulis agak keberatan untuk menonton filem-filem melayu di panggung, bukan tidak mahu menyokong industri perfileman tempatan, pilihan penulis lebih berat kepada mesej dan kepuasan yang boleh didapati dari sesuatu filem. Dan sebelum sepi, penulis sempat menonton Ironman, dan penulis terasa puas. Mesejnya jelas dan nyata menjadi sebab utama penulis berulang-ulang pergi ke panggung untuk menontonnya. Tiga kali.

Sepi pula mengisahkan tiga cerita dalam satu. Kesemuanya berkenaan permulaan dan pengakhiran. Gembira dan duka. Ketawa dan derita. Semuanya digaulkan oleh Kabir dalam satu hasil tangan yang cukup hebat. Untuk memahami jalan cerita Sepi, penonton perlu fokus dan menonton sehingga akhir cerita kerana filem ini tiada kronologi yang mudah. Penonton perlu faham di mana sebenarnya segala cerita bermula. Bagi penulis, walaupun filem ini direka sedemikian rupa, tidak sukar sebenarnya untuk memahami pemikiran dan fantasi Kabir ini. Lantaran itu, hasilnya juga tidaklah sejelik sesetengah filem melayu yang berada di pasaran.

Dalam kisah ini sebenarnya terdapat tiga simbol yang nyata yang cuba disampaikan oleh Kabir. Tiga simbol yang menyatukan tiga pasangan. Simbol yang pertama adalah bunga Camelia. Bunga Camelia merupakan titik tolak bermulanya kisah cinta antara Adam (lakonan Afdlin Shauki) dan Ilyana (Vanidah). Dalam filem ini, Adam merupakan seorang chef yang pakar dalam membuat kek perkahwinan dan memiliki sebuah restauran yang dikendalikan olehnya sendiri manakala, Ilyana adalah seorang wedding planner dan merupakan kawan baik kepada isteri kawan baik Adam sendiri.

Kisah kedua menggunakan getah rambut sebagai simbol cinta. Kisah kedua ini adalah antara Marya (Eja) dan juga Sufi (lakonan Tony Eusoff). Sufi merupakan pemilik sebuah kilang kasut manakala Marya merupakan seorang suri rumahtangga. Getah rambut Marya menjadi tali pengikat kasut Sufi setelah kasutnya koyak akibat terlalu banyak ‘berlari’.

Kisah ketiga menggunakan puisi sebagai simbol cinta antara Imaan (Baizura Kahar) dan Ean (Syed Hussein). Dalam kisah ini, Imaan merupakan seorang penulis skrip sebuah teater manakala Ean adalah pelakon teater tersebut. Kedua-dua mereka merupakan penuntut sebuah institusi pengajian tinggi. Kisah cinta yang ketiga inilah yang telah menggamit kembali memori penulis terhadap salah sebuah babak dalam kisah hidup penulis sendiri.

Filem sepi ini sarat dengan pelbagai emosi. Oleh yang demikian, amat penting bagi setiap pelakon menjiwai watak yang diberikan. Tahniah penulis ucapkan kepada Afdlin, Vanidah dan Tony Eusoff kerana berjaya menjayakan watak mereka dengan sangat berkesan. Yang lain-lain, adakalanya bagi penulis sangat stereotaip dan melankolik. Walau bagaimanapun, penulis merasakan filem ini sangat menarik secara keseluruhan.

Dalam filem ini, mesejnya begitu jelas dan ekspresif. Mengenai cinta, bermain dengan cinta, bercinta dengan cinta dan berjanji dengan cinta. Segala-galanya hanya cinta. Sepi hanyalah sebuah pulau persinggahan sebelum seseorang mencapai cintanya. Bagi penulis, filem Sepi ini mengajar penonton untuk bercinta, memahami cinta, bermain dengan cinta, merasai, menjiwai apa itu cinta. Selain itu, Sepi juga menyampaikan mesej bahawasanya sesuatu cinta tidak boleh hanya dinanti, tetapi perlu dikejar dan diluahkan sebelum ianya menjadi terlalu lewat. Cinta juga haruslah dibiarkan pergi apabila jiwa sudah tiada lagi.

Mesejnya mudah. Biarpun penulis beranggapan filem-filem Malaysia ini sarat dengan kisah cinta, namun, Sepi ada kelainannya. Bagi yang belum menonton, penulis sarankan agar menonton filem tersebut kerana satu sebab: Berbaloi.

Saturday, March 29, 2008

Aura Tuan Guru Nik Aziz

Sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Kedah yang diadakan pada 20 Mac 2008 yang lalu, penulis berkesempatan pergi mendengar ceramah yang diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar. Ceramah ini diadakan oleh kerajaan negeri yang menjemput dan membawa ’anchors’ daripada Kelantan dan Terengganu yakni Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat dan presiden parti bulan, Haji Abdul Hadi Awang, bersama-sama dengan Menteri Besar Kedah yang baru. Penulis tidaklah berniat dari awal untuk pergi ke sana, memandangkan ceramah diadakan pada waktu malam, sekitar jam 9.00 malam, namun ajakan dan penjelasan rakan-rakan terutamanya sahabat baik penulis menyebabkan penulis ’eager’ dan seterusnya bersetuju untuk pergi dan melihat sendiri bagi membuktikan khabaran-khabaran orang ramai mengenai aura Tuan Guru ini benar-benar berlaku.

Kami bertolak sekitar jam 8.00 malam. Perjalanan dari bumi Sintok ke Alor Setar memakan masa hampir 45 minit. Kami tiba di Plaza Tol Alor Setar Utara pada jam 8.45 malam. Dari situ, bermulalah satu pengalaman yang hampir membenarkan setiap khabaran-khabaran yang penulis dengar mengenai aura Tuan Guru Nik Aziz tersebut. Jalan menuju ke stadium tersebut terasa begitu panjang, sesak dengan pelbagai kenderaan, dari sekecil-kecil motosikal, sehingga sebesar-besar bas meluru masuk ke jalan yang sama. Sesekali penulis menoleh kiri dan kanan melihat orang ramai yang berpusu-pusu memandu masuk ke jalan tersebut. Anggota keselamatan seperti polis mula memasang pita kuning menandakan beberapa jalan sudah ditutup bagi mengurangkan kesesakan. Pelbagai persoalan timbul di minda penulis. Jika Tuan Guru Nik Aziz tidak punya satu aura yang besar, masakan begitu banyak sekali jalan ditutup? Dan jika beliau tidak punya apa-apa, masakan begitu ramai orang berpusu-pusu pergi, dari jauh dan dekat datang untuk menatap wajah dan mendengar suara serta ceramah beliau?

”Wah, bas dari Perak. Sampai bawa bas,” kata rakan penulis.

Penulis menoleh melihat kiri. Ya, bas itu benar-benar daripada Perak. Penulis hanya mengangguk. Kagum.

Perjalanan yang sepatutnya mengambil jarak dua kilometer dan sepatutnya tiba dalam jangka masa lima hingga tujuh minit menjadi 40 minit. Sebahagian besar kenderaan berpusu-pusu menuju jalan ke stadium tersebut. Setibanya di jalan masuk menghala ke stadium, penulis tersentak. Jalan ditutup. Kenderaan dari pelbagai jenis penuh berparkir di kiri dan kanan bahu jalan. Ada juga beberapa kereta berparkir di atas pembahagi jalan. Kata anggota keselamatan yang menjaga kawasan tersebut, ruang parkir telah memenuhi hampir dua kilometer radius kawasan tersebut! Orang ramai diminta meletakkan kenderaan mereka berhampiran kawasan tersebut dan berjalan kaki sahaja daripada jalan utama tersebut kerana tiada kenderaan yang dibenarkan masuk ke jalan tersebut. Penulis hanya melihat sahaja. Menunjukkan reaksi selamba di hadapan rakan-rakan, tetapi hati ini terkejut. Disebabkan jalan menghala ke stadium tersebut tutup, penulis meminta rakan-rakan turun dan berjalan kaki mengikuti rombongan tersebut, sementara penulis cuba mencari parkir yang sesuai yang paling hampir dengan stadium. Perjalanan penulis terpaksa dihalakan terus ke stesen bas Alor Setar.

Setelah berpusing hampir setengah jam, penulis meletakkan kereta dari jarak hampir lebih satu kilometer daripada stadium. Penulis berjalan kaki menuju stadium. Penulis melihat kiri dan kanan, pelbagai kenderaan daripada pelbagai negeri, Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Perak hatta Kelantan pun ada memenuhi bahu-bahu sepanjang jalan ke stadium.

Inikah aura Tuan Guru?

Sesekali, penulis memasang telinga kepada cakap-cakap dan bualan orang sepanjang penulis melangkah menuju stadium. Rata-rata mereka mengatakan, mereka hadir untuk melihat wajah dan mendengar ceramah Tuan Guru.

Inikah aura Tuan Guru?

Dari jarak 500 meter dari stadium, suara penceramah cukup jelas kedengaran. Tetapi ada yang lebih menarik perhatian penulis. Salah satu ’tarikan’ kepada ceramah berkenaan. Pelbagai gerai makanan, minuman, pakaian dan sebagainya didirikan di bahu kiri dan kanan jalan sepanjang hampir 500 meter ke tapak stadium. Pada pemikiran penulis waktu itu, inilah tarikan sebenar orang hendak ke stadium. Mereka bukan hendak sangat mendengar ceramah, tapi hendak membeli belah.

Penulis meneruskan langkah. Di hadapan stadium, penulis tunduk membersihkan cermin mata yang penuh wap kerana ia menjejaskan penglihatan penulis. Sebaik melangkah masuk ke stadium, penulis terpegun... Masya Allah...

Lautan manusia berada di hadapan penulis. Penulis hanya beberapa langkah daripada pintu masuk stadium, namun penulis tidak dapat meneruskan langkah penulis lagi. Seluruh stadium penuh dengan lautan manusia yang sedang khusyuk mendengar ceramah yang sedang disampaikan oleh Haji Abdul Hadi, presiden parti bulan penuh. Suaranya yang lantang menyebabkan setiap ayat dan bait perkataan cukup jelas di halwa telinga penulis. Syarahan beliau berbaur politik meskipun tajuknya mengenai Maulidur Rasul, kelahiran dan perginya rasul akhir zaman, namun sentuhannya terhadap dimensi politik terlalu sedikit.

Penulis hanya melihat kiri dan kanan. Mencari ruang-ruang untuk duduk merehatkan kaki yang jauh berjalan. Rakan-rakan penulis semuanya telah kehilangan jejak. penulis mengambil tempat berdekatan pos kawalan masuk ke stadium. Penulis melihat stadium penuh sesak. Dari semuda-muda manusia sehingga setua-tua manusia, semuanya ada di hadapan penulis. Rakyat jelata duduk di atas hamparan tikar dan surat khabar di atas jalan. Anak-anak kecil berlari dan menangis memberi satu latar belakang yang sangat harmoni pada ceramah tersebut. Ditambah suara-suara besar segelintir penjual air yang menjual air kepada pengunjung yang datang. Hebat penangan panel forum kali ini.

Setelah presiden parti bulan penuh selesai menyampaikan ceramah beliau, moderator forum mengumumkan projek kerajaan negeri baru yang pertama iaitu pembinaan sebuah sekolah untuk anak-anak yatim Kedah yang menelan belanja RM250 juta. Orang ramai disaran menderma untuk sama-sama membantu pembinaan projek tersebut. Lebih 500 orang petugas ditugaskan untuk tujuan mengutip derma. Di benak penulis, inilah langkah pertama ke arah merealisasikan negara kebajikan yang sentiasa dilolong-lolongkan oleh mereka semasa berkempen dahulu. ”Good strategy,” bisik hati penulis.

Moderator kemudiannya menjemput Tuan Guru untuk memberikan ceramahnya. Daripada skrin besar di sebelah kiri stadium, sinar wajahnya terpancar. Suaranya lembut. Pandangan matanya terhadap audien sangat redup. Pengunjung mula mengurangkan percakapan. Setiap kata-kata yang keluar dari bibir ulama ini dihayati. Pengunjung dan audien tidak berganjak meskipun ceramah berlarutan sehingga jam 11.30 malam.

Di hati penulis, penulis masih tercari-cari apakah sebenarnya tujuan orang datang ke stadium tersebut. Mendengar ceramah? Membeli belah? Menunjukkan sokongan kepada parti bulan penuh yang menang?

Dalam perjalanan pulang, penulis berfikir, jika benar Tuan Guru dan presiden parti bulan penuh itu tiada aura, masakan orang jauh dan dekat datang semata-mata untuk mendengar ceramah? Kereta, van dan bas memenuhi segenap jalan sekitar stadium. Jika benar Tuan Guru tiada aura, masakan orang membawa surat khabar dan tikar yang seolah-olah menunjukkan mereka tahu mereka tidak akan dapat duduk di tempat duduk yang disediakan. Dan jika benar Tuan Guru tiada aura, masakan hampir 300 ribu orang memenuhi segenap pelusuk stadium khusyuk mendengar ceramah tersebut? Konsert artis Malaysia paling popular pun tidak akan mampu menarik lautan manusia seramai itu. Apakah sebenarnya kuasa yang menarik perhatian umum untuk pergi mendengar ceramah tersebut?

Inikah aura Tuan Guru?

Inilah aura Tuan Guru!!!



Friday, March 28, 2008

Kepercayaan mengatasi ketaksuban kepada parti: isu agama dan perkauman punca utama parti pemerintah hilang majoriti 2/3 dalam PRU 12?

Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU 12) telah lama menutupkan tirainya. Kemenangan dan kekuasaan diraikan manakala kekalahan ditangisi. Keputusan PRU 12 kali ini menampakkan satu perubahan besar apabila demam pilihan raya yang seharusnya berakhir sebelum hari PRU 12 telah bertukar menjadi wabak penyakit yang menyerang Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor selain kekal di Kelantan. Hal ini begitu menarik perhatian penulis kerana setelah 50 tahun kemerdekaan dan 11 kali pilihan raya diadakan, barulah kini mentaliti dan minda masyarakat Malaysia terbuka untuk menerima perubahan. Parti pemerintah masih kekal memerintah untuk empat hingga lima tahun yang akan datang dengan majoriti mudah 50.28% berbanding hampir 92% pada pilihan raya sebelumnya. Perbezaan yang cukup besar dalam tempoh empat tahun menimbulkan persoalan apakah sebenarnya punca parti pemerintah hilang majoriti dua per tiganya?

Berbicara dengan beberapa tokoh-tokoh akademik, jaringan rakan-rakan serta melalui pemerhatian dan pembacaan saban hari sepanjang kempen pilihan raya sehingga selepas pilihan raya dijalankan, penulis merasakan ada sesuatu yang menarik untuk dikongsi yang kurang diperhatikan atau sengaja ’didiamkan’ akhbar dan media massa kerana isu ini begitu sensitif untuk dibicarakan secara meluas.

Benarkah isu agama dan perkauman merupakan punca utama kehilangan majoriti dua per tiga parti pemerintah?

Malaysia merupakan negara yang terkenal dengan kepelbagaian budaya dan etnik yang menjadi penghuni utama tanah kecil ini. Dari zaman sebelum kemerdekaan, salah satu isu yang sentiasa mendapat perhatian utama merupakan isu perpaduan antara kaum dan berlainan agama. Isu ini merupakan isu sensitif yang jarang dibicarakan di peringkat umum kerana kebimbangan terhadap impak daripada isu yang cuba diutarakan tersebut. Walau bagaimanapun, parti pemerintah yang menjadi kerajaan pusat lebih 50 tahun sentiasa mengutamakan perpaduan dan integrasi kaum dalam memastikan negara dapat diperintah dengan baik dan bagi mengelakkan pergaduhan dan rusuhan antara kaum tercetus.

Namun, sejauh manakah isu agama dan perkauman menjadi ’main focus’ parti pemerintah?

Kehilangan undi orang-orang Cina dan India serta orang Melayu yang mula beralih angin menjadi punca utama parti pemerintah hilang majoriti dua per tiganya. Selain provokasi media massa yang melampau terhadap parti lawan, integriti calon-calon yang cuba dicanang menjadi persoalan sama. Tambahan lagi, parti lawan banyak membuka isu agama dan perkauman sebagai cara untuk meraih undi selain membawa isu-isu yang menarik perhatian rakyat seperti harga minyak, harga barang, kadar rasuah dan jenayah yang tinggi serta isu tol. Isu-isu ini menjadi senjata terbaik parti lawan yang kemudiannya menawan dan memerintah empat negeri baru iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor selain kekal di Kelantan seperti tahun-tahun sebelumnya. Apa yang mengejutkan, di Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang, parti pemerintah hilang majoriti kepercayaan rakyat yang menyebabkan pemerintahan negerinya bertukar tangan. Slogan negara kebajikan serta pemerintahan yang adil dan telus yang dilaung-laungkan oleh parti lawan menarik perhatian rakyat dan telah terbukti mampu membeli undi mereka.

Di masjid-masjid terutamanya pada hari Jumaat sepanjang tempoh berkempen, ucapan-ucapan berkempen hampir tidak jelas berkenaan siapa yang sepatutnya dipilih menjadi pemimpin merupakan isi-isi tersirat khutbah-khutbah jumaat. Selain itu, kebanyakan rakyat beragama bukan Islam disaran oleh ketua-ketua agama mereka pada hari-hari Ahad atau dalam upacara-upacara keagamaan mereka untuk mengundi parti lawan kerana mereka mahu melihat kebebasan agama dipraktikkan di negara ini. Sebelum ini, parti pemerintah acap kali melolongkan kebebasan agama yang diberikan kepada rakyat. Walau bagaimanapun, benarkah itu terjadi? Sebahagian besar rakyat bukan Islam melihat parti pemerintah hilang fokus untuk menjaga kebajikan rakyat bukan Islam serta menidakkan kebebasan agama yang menjadi retorik parti pemerintah selama ini. Jika benar parti pemerintah menjaga kebajikan agama lain, mengapakah persatuan-persatuan agama bukan Islam selalunya gagal mendapatkan tanah untuk membina gereja-gereja dan kuil-kuil bagi penggunaan upacara mereka? Mengapakah adanya birokrasi setiap kali mereka memohon untuk mendapatkan lesen bagi menjalankan upacara-upacara keagamaan di kawasan mereka? Mengapakah mereka begitu sukar untuk membeli rumah kedai bagi tujuan membina tempat-tempat agama mereka? Mengapakah rumah-rumah Tuhan mereka dihapuskan kerana dikatakan terlalu banyak rumah-rumah Tuhan di satu kawasan (menimbulkan persoalan lain, siapa yang membenarkan asalnya rumah-rumah agama itu didirikan sehingga menjadi terlalu banyak)? Dan yang paling penting, semasa mereka memohon menunda masa untuk menghapuskan rumah-rumah Tuhan mereka selama cuma tiga hari bagi membolehkan sedikit upacara keagamaan dibuat, mengapakah hal ini tidak dibenarkan? Apa ertinya dan pentingnya tiga hari itu kepada parti pemerintah? Persoalan-persoalan ini menjadi bukti betapa kecilnya isu agama di hati parti pemerintah yang akhirnya ’memakan’ diri mereka dalam PRU 12.

Selain isu agama, isu perkauman turut mendapat tempat dalam ’menjana’ kehilangan majoriti dua per tiga parti pemerintah. Jika benar parti pemerintah menjaga kebajikan kaum-kaum di negara ini, mengapakah wujudnya Hindraf? Mengapakah adanya hampir 30% rakyat India di negara ini tidak mendapat sijil kelahiran anak mereka dan bilakah presiden parti pemerintah mula menitik beratkan kebajikan rakyat yang tidak mendapat sijil kelahiran? Mengapa begitu sukar orang melayu membeli tanah di bahagian pulau, Pulau Pinang? Mengapa adanya penindasan ekonomi dan politik terhadap kaum Melayu di Pulau Pinang? Dan yang paling penting, mengapakah Dasar Ekonomi Baru perlu dilaksanakan sedangkan ketidakefektifannya sudah dikenal pasti dan diketahui umum? Telah jelas lagi bersuluh, semua isu-isu ini menjadi persoalan utama terhadap parti pemerintah. Namun apabila ditanya kepada presiden parti pemerintah, jawapannya ”No comment.” atau ”Takpa. Takpa. Nanti kita selesaikan.”

Sebelum ini, bekas perdana menteri keempat Malaysia yang memerintah Malaysia selama hampir 22 tahun pernah menyatakan beliau menunjukkan dedikasinya dalam menjaga kepentingan agama dan kaum-kaum di negara kita. Jika itu benar, maka tidak akan ada rungut dan sungut atau sekurang-kurangnya kecil nisbahnya orang yang merungut menyatakan kebajikan agama dan kaum mereka tidak terbela. Hal ini ada, cuma tidak begitu ketara kerana bekas perdana menteri itu bersifat diktator dalam pemerintahannya. Lain pula semasa pemerintahan di bawah Bapa Islam Hadhari ini, terlalu banyak kelemahan diperlihatkan, terlalu sedikit kejayaan yang ditunjukkan. Kekuatan ekonomi bukan satu-satu kunci prestasi utama yang dilihat oleh rakyat. Kebajikan dan peranan baik yang dimainkan pemimpin menjadi fokus utama mereka. Adakah calon-calon yang mereka undi hari ini akan memberi kebaikan pada mereka kelak? Seharusnya, setiap lompang yang gagal ditutup oleh bekas perdana menteri itu haruslah diperbaiki penggantinya. Dan sebaik-baik pemimpin adalah pemimpin yang mampu menjaga setiap kecil keperluan rakyatnya. Itulah pemimpin sebenar.

Daripada canangan isu-isu agama dan perkauman tadilah, PRU 12 hampir pasti menunjukkan satu tsunami politik terbesar. Dan ini telahpun dibuktikan pada 8 Mac 2008 yang lalu. Kuasa pengundi menentukan segalanya. Hal ini jelas menunjukkan bahawa kepercayaan atau ’faith’ pengundi dan masyarakat jauh mengatasi ’ketaksuban kepada parti dan pemerintah’ dalam pemilihan pemimpin. Kata-kata ulama, pemimpin agama bukan Islam dan pendapat mereka lebih dipercayai daripada janji-janji kosong calon-calon wakil-wakil rakyat. Bukankah itu lebih manis?

Bercakap mengenai pemerintahan, penulis teringat dalam satu forum pilihan raya yang diadakan seminggu selepas pilihan raya di Universiti Utara Malaysia yang dihadiri dua wakil parti pemerintah dan dua wakil parti lawan yang telah menang. Mereka ialah Y.B Datuk Saifuddin Abdullah dan Y.B Dr. Mohd Puad Zarkashi (wakil parti pemerintah), dan Y.B Prof. Dr. P. Ramasamy dan Y.B Dr. Mujahid Yusof (wakil parti lawan). Satu kritikan ditujukan kepada wakil parti lawan oleh wakil parti pemerintah berhubung isu pelantikan Menteri Besar di Perak dan Selangor yang semasa forum tersebut dijalankan, yang masih menjadi tanda tanya. Walau bagaimanapun, kritikan tersebut dijawab mudah oleh wakil parti lawan, ”Kami baru hendak menubuhkan kerajaan negeri, tentulah ada sedikit salah faham. Namun hal ini dapat dipastikan tidak lama lagi. Tidak seperti parti pemerintah yang lebih 50 tahun memerintah, namun isu pelantikan MB masih berlaku di Perlis dan Terengganu” (sehingga artikel ini ditulis, isu MB Terengganu masih belum menemui dalam penyelesaian).

Bagi penulis, persoalan politik tidak akan terhenti... persoalan yang timbul di benak penulis sekarang, mampukah kerajaan negeri yang diperintah pihak lawan (kata bekas timbalan perdana menteri yang ditahan ISA, bukan parti lawan tapi kini the next government-to-be party) menunjukkan keupayaan pemerintahan yang telus, adil dan berkebajikan seperti janji-janji mereka dulu. Jangankan kerana janji-janji yang tidak mampu ditepati tersebut, mereka pula diundi keluar rakyat.

Monday, November 12, 2007

Isu Peniaga Melayu – Pemimpin Kita Kurang Peka

Baru-baru ini seorang senator telah ditemu bual oleh wartawan TV3 berkenaan dengan agenda-agenda persidangan tahunan UMNO yang diadakan dari 5 hingga 9 November di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. Antara yang hangat diperkatakan adalah mengenai nasib peniaga melayu yang sehingga kini masih di takuk lama. Senator tersebut dengan lantangnya memberitahu wartawan berkenaan peniaga melayu tidak maju adalah kerana mereka mengalami masalah kewangan dan modal yang sedikit. Penulis merasakan bahawa beliau telah memberi satu lontaran jawapan yang kurang bijak. Lebih malang, jawapan itu datangnya daripada seorang senator yang boleh dikategorikan sebagai seorang pemimpin. Penulis juga merasa sedikit kecewa dengan jawapan beliau yang jelas menunjukkan bahawa beliau TIDAK PEKA dengan isu semasa dan keadaan sebenar peniaga melayu ini.

Sebenarnya, modal dan kewangan bukanlah isu besar yang harus menjadi perdebatan selama-lamanya apabila membincangkan nasib peniaga melayu. Setelah lebih 50 tahun merdeka, bumi Malaysia yang membangun ini sudah banyak menyediakan prasarana dan kemudahan pinjaman kewangan yang rata-rata syaratnya adalah longgar untuk golongan bumiputera. Presiden UMNO yang juga merupakan Perdana Menteri kita kini ada menekankan supaya bank-bank dan institusi-institusi kewangan di negara ini memberi sedikit longgaran kepada peniaga bumiputera untuk mendapatkan pinjaman dan memudahkan urusan pinjaman kewangan mereka bagi memulakan perniagaan. Persoalan mendapatkan pinjaman kewangan untuk memulakan perniagaan bukanlah isu besar kerana dengan berbekalkan prosedur yang ditetapkan oleh institusi kewangan di seluruh negara, sedikit sahaja masalah yang mungkin dihadapi untuk meluluskannya. Walau bagaimanapun, masalah yang dilihat membebani peniaga melayu kini adalah persaingan yang melampau. Di sini, penulis tidak hanya melihat dari konteks yang besar, cukup sekadar melihat dari satu sudut kecil sahaja, peniaga kecil-kecilan dan satu faktor kecil yang menjadi penghalang mereka - PERSAINGAN.

Sejak Pak Lah menerajui kepimpinan negara, ramai peniaga kecil mengeluh. Ini adalah realiti yang penulis sendiri lihat dan selami selama hampir empat tahun kebelakangan ini. Dalam masa empat tahun, pasaraya-pasaraya besar seperti TESCO tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Hampir setiap 10 kilometer akan ada sahaja pasar raya hyper seperti ini. TESCO, TESCO extra, Giant dan Carrefour menawarkan harga yang kononnya lebih murah di pasaran. Pelbagai cara digunakan untuk mengiklankan barangan mereka. Murah, mudah dan menjimatkan. Peniaga kecil-kecilan yang membeli barang secara borong yang tidak sebanyak mereka tidak mampu menawarkan harga yang lebih rendah. Namun, jika kita lihat mengenai perang harga secara dekat sekalipun, harga yang ditawarkan pasaraya-pasaraya hyper ini tidaklah semurah mana. Apa bezanya sekilogram sawi yang berharga RM3.99 di pasaraya-pasaraya hyper dengan sekilogram sawi yang berharga RM4.00 yang ditawarkan oleh peniaga kecil-kecilan? Nilai 99 sen itu sangat kabur bagi orang-orang Malaysia. Yang mereka lihat, perbezaan antara angka tiga (3) dan angka empat (4). Di sini, penulis merasakan telahan rakyat bangsa lain mengenai cara hidup orang Malaysia yang gemar membeli belah dan inginkan yang murah ada benarnya. Bagaimana mungkin peniaga-peniaga kecil Melayu mahu terus maju sekiranya pasaraya-pasaraya gergasi seperti ini ada di setiap corong dan lorong kecil tempat mereka berniaga? Ini mungkin bukan satu masalah bagi mereka-mereka yang duduk di luar bandar, kerana pasaraya-pasaraya seperti ini dibina di tempat-tempat yang mempunyai urbanisasi yang tinggi dan tentulah, peniaga-peniaga kecil di luar bandar mampu hidup dengan baik, namun bolehkah mereka mempertahankan perniagaan tersebut dalam tempoh lama? Tambahan lagi, peniaga-peniaga kecil ini tidaklah seperti pasaraya-pasaraya gergasi lain yang mempunyai peruntukan untuk mengiklankan barangan mereka di media massa kerana hakikatnya untuk membeli barang secara borong pun kadang-kadang mereka tidak mempunyai cukup sumber modal dan kewangan. Ini bukan kerana mereka tidak mampu berniaga, tetapi barang-barang yang dibeli tidak dapat dijual kerana rata-rata pembeli sudah mula memilih pasaraya-pasaraya hyper sebagai tempat mereka membeli barang mereka kerana tertarik dengan harga yang ditawarkan di kaca televisyen dan media-media cetak yang lain. Perang antara peniaga-peniaga kecil dan besar ini dilihat umpama gajah sama gajah berperang, pelanduk mati di tengah-tengah. Dan sudah tentulah, perkara ini memberi kesan yang amat besar kepada peniaga Melayu yang kononnya ingin dibela nasibnya oleh UMNO.

Itulah realiti peniaga kecil semenjak Pak Lah menerajui kepimpinan negara. Bukan itu sahaja, kelembutan Pak Lah turut menyebabkan kaum-kaum yang lebih gagah di medan perniagaan dengan mudah ’menelan’ peniaga-peniaga melayu. Pemborong-pemborong Cina misalnya menekan peniaga melayu dengan menjual barang keperluan dengan harga tinggi sedangkan barang yang sama jika diambil oleh kaum yang serumpun mereka, harganya jauh berbeza. Tidak dinafikan, semua ini antara faktor orang Melayu ini LAYU di negara sendiri. Yang lebih penulis kesalkan, pemimpin kita tidak nampak realiti ini. Tatkala senator ini memberikan jawapan beliau yang kurang bernas itu secara langsung di kaca televisyen TV3, penulis hanya tersenyum sinis, tidak menyangka pemimpin kita ini begitu cetek pemikirannya.

Kepada pemimpin sekarang, jangan difikirkan isu-isu menglobalisasikan Malaysia, jika isu-isu kecil seperti ini tidak mampu kamu selesaikan.

Tuesday, October 30, 2007

Berbekam

Terasa ringan sedikit benak penulis. Pulang daripada berubat secara tradisional (nak kata tradisional pun tak boleh juga) di Taman Melawati. Rata-rata rakan penulis sudah pulang ke Kedah, melalui minggu ulang kaji yang sangat panjang. Peperiksaan penulis akan bermula lewat dan tamat lewat. Oleh sebab tanggung jawab penulis sebagai anak, penulis tidak pulang dengan segera. Ayah melawat emaknya di Indonesia, orang-orang tua, mulalah merasakan rindu yang teramat kepada ibu bapa yang masih ada. Jadi, ibu hanya berseorangan di rumah. Atas alasan ini juga, penulis mengambil keputusan pulang semula ke rumah, menemani ibu yang kesepian.
Berbalik mengenai rawatan tradisional tadi, penulis sudah melakukannya sejak dua tahun yang lepas. Kesannya amat ketara. Dahulunya, penulis sering diserang migrain yang melampau, tapi kini, sakit kepala penulis tidaklah seperti dulu. Penulis masih mampu berjalan dan bergurau tatkala diserang sakit kepala. Ia menampakkan perubahan yang teramat sangat. Cuma gastrik penulis yang tidak berubah. Itu semua salah penulis yang sering tidak menjaga masa makan penulis. Alasan penulis? Terlampau sibuk!!!
Berbekam merupakan amalan Rasulullah S.A.W. pada zaman dahulu. Ia merupakan satu kaedah untuk membuang darah kotor yang berkumpul di bawah kulit, menyihatkan badan dan memberikan keselesaan kepada mereka yang mengamalkannya. Untuk membuang darah kotor tersebut, pembekam akan menyedut tempat yang hendak dibekam dengan menggunakan alat yang bentuknya seperti gelas kecil. Setelah menanti 5 hingga 10 minit, tempat yang hendak dibekam itu akan berbenjol, dan pada waktu inilah, pembekam akan menoreh kulit orang yang hendak dibekam antara 3 hingga 7 garis torehan bagi mengeluarkan darah kotor tersebut. Darah akan disedut antara 3 - 5 kali. Untuk orang yang telah lama menghidap satu-satu penyakit, mereka hendaklah berbekam lebih banyak kerana penyakit yang dihidapi sudah terkumpul lama di bawah kulit dan memerlukan masa untuk membuang semua darah kotor dan toksik yang ada.
Bagi orang-orang yang mahu menjaga kesihatan dan merasakan ubat hospital dan klinik bukanlah pilihan mereka, bolehlah mencuba perkhidmatan berbekam ini. Walaupun nampak tradisional, tapi kesannya lebih baik daripada pengambilan dadah daripada ubat-ubat moden yang berlebihan.

Friday, July 27, 2007

Majulah Adhoc Anak Negeri Selangor UUM (ASelUUM)

Perhimpunan adhoc anak negeri Selangor di Universiti Utara Malaysia akan diadakan pada 2 Ogos ini bertempat di Dewan Kolej Kediaman TM. Walaupun penubuhan adhoc anak negeri Selangor atau ringkasnya ASelUUM ini masih baru, idea-idea untuk mengembangkan peranan ASelUUM telah pun dirangka. Penulis dan rakan baik penulis banyak berdiskusi bagaimana untuk membawa ASelUUM ini duduk sama rendah dan berdiri lebih tinggi daripada adhoc-adhoc anak negeri yang lain. Jika dilihat dari sudut kemajuan dan pembangunan negeri, nyata negeri Selangor merupakan negeri termaju di antara 14 negeri di seluruh Malaysia. Visi untuk mencapai Selangor Maju 2005 sudah pun terlaksana. Kini, Selangor meneruskan usaha mencapai visi Selangor Sejahtera 2010. Oleh yang demikian, penulis dan rakan baik penulis itu menganggap bahawa perlunya ke arah membina kesedaran di kalangan anak negeri Selangor UUM untuk menjadi seperti negeri Darul Ehsan itu. Like Father Like Son. Mungkin itu peribahasa yang paling sesuai menggambarkan harapan dan impian penulis serta rakan penulis terhadap adhoc ASelUUM. Pada kami, anak negeri Selangor tidak perlu hanya berbangga dengan kehebatan pengurusan negeri, dari mana mereka berasal, kewibawaan pemimpin negeri tersebut, pembangunan dan kecanggihan yang ada pada negeri Selangor tetapi ASelUUM perlu menjadi seperti negeri mereka. MAJU, HEBAT, BERWIBAWA, BERILMU dan BERWAWASAN.
Penulis dan rakan penulis sempat merangka beberapa agenda yang perlu diberi tumpuan oleh ASelUUM:
1. Kecenderungan terhadap penguasaan Bahasa Inggeris. Negeri yang maju dan mempunyai rakyat yang maju dari segi fasiliti dan mentaliti perlu menguasai Bahasa Inggeris. ASelUUM perlu ada semangat untuk mempelajari dan menguasai bahasa antarabangsa ini. Tidak dinafikan bahasa Inggeris merupakan salah satu indikator penting secara fizikalnya memperlihatkan kewibawaan dan kehebatan seseorang. Rata-rata orang melihat kebolehan berbahasa Inggeris dan menulis dalam Bahasa Inggeris sebagai salah satu kelebihan yang melayakkan seseorang bersaing dalam dunia global yang lebih kompetitif. Oleh itu, ASelUUM perlu meluangkan masa mempelajari dan menguasai bahasa antarabangsa ini.
2. Minat yang tinggi dalam membaca. Kata orang, join the navy and you can see the world. Itu dulu, bagi penulis. Sekarang, penulis berpendapat ENJOY YOUR READINGS, AND YOU CAN SEE THE WORLD. Penulis dapat melihat remaja sekarang terutama generasi penulis sendiri tidak berminat dengan hobi membaca, terutama bahan-bahan berunsurkan ilmiah. Hampir sebahagian generasi penulis lebih berminat dengan komik-komik dan majalah-majalah hiburan yang bagi penulis hanya fokus kepada satu dunia kecil di luar sana. Pada pandangan penulis, membaca merupakan salah satu kaedah dan cara untuk menambah ilmu pengetahuan. Dalam Al-Quran sendiri, surah Al-Alaq ayat pertama menyeru manusia terutama umat Islam untuk membaca. ASelUUM perlu ada dan menanam minat yang tinggi terhadap pembacaan. Bagi penulis dan rakan penulis, untuk melahirkan dan mewujudkan generasi pelapis Selangor yang berilmu atau "knowledgable", ASelUUM perlu ada semangat untuk membaca. Membaca lebih banyak akan dapat ilmu lebih banyak. Itu yang seharusnya ditanam dalam minda ASelUUM.
3. Memanfaatkan bidang keusahawanan. Keusahawanan merupakan bidang pekerjaan yang berisiko tinggi tapi memberi cabaran dan pulangan yang biasanya lebih tinggi daripada bekerja makan gaji. Kata rakan penulis, Selangor merupakan negeri yang mempunyai kadar pengangguran paling kecil antara negeri-negeri di seluruh Malaysia. Di Selangor, peluang-peluang pekerjaan sangat banyak kerana pembangunan negerinya yang pantas dan cepat. Selain itu, peluang untuk menubuhkan syarikat dan perniagaan menjadi semakin mudah kerana tiap-tiap kawasan di negeri Selangor mengalami urbanisasi dan menyebabkan semakin ramai orang luar berpindah ke Selangor. Selangor turut mempunyai jaringan kemudahan yang mantap dengan kadar kemasukan pelabur asing yang ramai. Hal ini sedikit sebanyak menjamin keberlangsungan hayat sesuatu perniagaan dan syarikat yang ditubuhkan. Apa yang perlu ditekankan adalah kemahiran dan skil menjalankan perniagaan. ASelUUM perlu mempelajari kemahiran-kemahiran keusahawanan sebagai usaha untuk memajukan diri serta komuniti Selangor. Usaha-usaha ke arah menimba lagi ilmu dan kemahiran-kemahiran berniaga dan mengusahakan sesuatu perniagaan perlu digalakkan.
4. Sumbangan kepada masyarakat MALAYSIA. Tidak dinafikan, sebagai rakyat negeri Selangor, sememangnya perasaan bangga dengan pencapaian dan kemajuan negeri tempat asal ini tidak dapat dielakkan. Namun, sebagai rakyat MALAYSIA, kemajuan dan pencapaian yang dikecapi harus dinikmati bersama. Bukan hanya dikongsi dengan bandaraya-bandaraya besar Selangor atau dengan bandar-bandar sedang membangun Selangor, tetapi juga dengan negeri-negeri lain. Peranan ASelUUM adalah dengan berbakti kepada masyarakat setempat, terutama di negeri Selangor serta negeri Kedah, tempat menimba ilmu perlulah digalakkan. Selain mendapat pengalaman yang berguna, hal ini memastikan ASelUUM mempunyai segala kemahiran yang diperlukan.
Penulis sebenarnya amat berbangga menjadi anak kelahiran Selangor walaupun, ayah dan ibu penulis sebenarnya datang dari dua dunia yang berbeza. Pada pandangan penulis, inilah masanya ASelUUM perlu membangunkan apa yang mereka miliki dan menguasai apa yang masih tidak dimiliki. Segalanya bermula dengan niat, usaha dan keyakinan. Semoga berjaya, ASelUUM.

Wednesday, July 25, 2007

Suatu permulaan...

Kata orang, untuk menjadi mahir, kita semestinya perlu melatih diri dan jangan biarkan kemahiran yang ada disiakan begitu sahaja. setiap bakat perlu diasah untuk memastikan skil yang diperoleh terus tajam seperti pisau. Penulis melihat situasi menulis seperti itu. Dahulunya, semasa di zaman sekolah menengah, guru-guru dan rakan sering kali memuji gaya penulisan dan olahan idea yang penulis lakukan. Namun, sejak subjek karangan Bahasa Melayu dan Esei Bahasa Inggeris penulis tinggalkan, skil itu menjadi begitu tumpul. Penulis fikir tentu ada cara bagaimana mengembalikan skil itu semula. Berbekalkan semangat "practice makes perfect", penulis memulakan aktiviti menulis yang sebelum ini hanya dicurahkan dalam buku-buku kosong di dalam bilik. Sebagai permulaan sendiri pun, penulis tidak banyak idea hendak dilontarkan. Namun, penulis berjanji, blog ini akan menjadi saluran penulis untuk melontarkan idea-idea penulis mengenai sesuatu perkara selain menjadi tempat penulis berkongsi ilmu dengan rakan-rakan dan pembaca yang lain. sumber-sumber idea penulis mungkin daripada kepala penulis sendiri atau diambil daripada buku-buku, makalah-makalah dan majalah-majalah yang penulis baca selain daripada perbincangan dan diskusi dengan orang-orang yang pakar dalam bidang penulisan dan subjek yang bakal penulis layarkan.
Penulis amat berharap permulaan ini akan menjadi pemangkin untuk penulis menulis lebih banyak tentang hal-hal yang berlaku di sekeliling penulis. Selain itu, penulis amat berharap, skil penulisan penulis akan dapat dikembalikan melalui kaedah ini.